Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

Vitamin C Organik

on Isnin, November 12, 2012

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera, Salam 1 Dunia.

Sekarang ni rata-rata tempat tak kira lelaki atau perempuan, dari golongan remaja hingga la ke golongan dewasa mengenali vitamin c organik.


Aku ada jual vitamin c organik ni sejak beberapa bulan lepas. Orang pertama yang menjadi testimoni sebelum aku jual vitamin ini pada kawan-kawan adalah suamiku sendiri. Sebelum nak jual pada orang, kena cuba untuk diri sendiri dulu kan. Tapi aku bukan pengguna sepenuhnya vitamin ini.

Dulu, aku ada beli 3 botol untuk percubaan dan sempat makan selama 3 minggu sahaja, selebihnya hubby yang habiskan. Katanya, aku tak perlu makan, biar dia yang makan sebab banyak jerawat di wajahnya. Katang-kata naik jerawat batu. Alhamdulillah, lebih kurang 2 minggu, jerawatnya pulih. Apabila dah yakin, hubby syorkan pada kawan-kawan sekerjanya. Syukur, ada juga sambutan.

Maaf kerana tidak ada gambar testimoni untuk ditunjukkan. Pada yang dah mencuba, boleh kongsikan kesannya di ruangan komen.

Info:


KEBAIKAN VITAMIN C

  • Sesuai untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
  • Memberi efek kulit yang sekata, cerah dan lembap
  • Sesuai untuk ibu mengandung
  • Sesuai untuk merawat jerawat di wajah dan badan
  • Bagi yang menghadapi masalah resdung amat sesuai diamalkan
  • Diperlukan untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu, fungsi kelenjar adrenal, dan juga mendapatkan gusi dan gigi yang sihat
  • Melindungi sel tubuh daripada kesan-kesan pencemaran, melindungi daripada jangkitan dan selesema, serta meningkatkan imuniti
  • Membantu untuk mengurangkan tahap kolesterol, tekanan darah tinggi dan mencegah aterosklerosis
  • Melindungi daripada pembekuan darah, lebam, menggalakkan penyembuhan luka dan pengeluaran hormon anti-stress
  • Penting untuk penyuburan sel darah putih dan juga bertindak sebagai antihistamin semulajadi yang amat berguna untuk mengurangkan hidung bengkak semasa selesema dan mengurangkan gejala-gejala lain alergi
  • Memainkan peranan penting dalam pengeluaran kolagen yang membantu mencegah penuaan pra-matang
  • Membunuh bakteria patogenik yang bertindak sebagai antibiotik yang tidak berbahaya
  • Melindungi sel-sel otak dan saraf tunjang yang sering dirosakkan oleh radikal bebas
  • Membantu tubuh menyerap zat besi yang lebih berguna dalam rawatan anemia
  • Ia memainkan peranan penting dalam penghasilan hemoglobin dan sel darah merah
  • Merawat jangkitan saluran kencing
  • Diperlukan untuk metabolisme asid folik dan vitamin lain
  • Utk kanak-kanak, memadai dengan mengambil separuh, kerana jumlah vitamin c yang diperlukan oleh kanak-kanak hanya 250mg sehari
Ia penting untuk:
  • Membantu meningkatkan tahap sistem pertahanan badan
  • Untuk kesihatan tulang, gusi, gigi serta struktur am badan.
  • Membantu memulihkan resdung dan bersin pada waktu pagi
  • Membantu dalam proses pemulihan kudis dan luka
  • Membina kologen untuk kulit yang sihat
  • Bertindak melindungi sel dalam serangan antioksidan
  • Meningkatkan penyerapan zat besi daripada sumber bukan daging
CARA MAKAN :
Makan 1 atau 2 biji sehari iaitu pagi dan malam selepas makan.

Sebiji dos: 500 mg

Vitamin C ini 100% Halal, dijamin dan berkesan.
No Kelulusan MAL 07010987XC
KKM B724720313

Jika ada yang berminat, boleh contact aku di talian 0175516307.



Demam Berjangkit.

on Rabu, Ogos 29, 2012

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera, Salam 1 Dunia.

Sepanjang bulan Ramadhan dan hari raya, Alhamdulillah sihat walafiat. Seminggu selepas raya, pulun minum air berkarbonat, aku diserang sakit tekak dan seterusnya batuk.

Kini anak-anakku pula demam kedua-dua beradik. Dapat la mulut ku rehat seketika sebab anak-anak tak banyak kerenah. Yang kecil tu je asyik merengek. Kalau tidak, jenuh la si Alongnya sepah-sepahkan barang mainan di ruang tamu rumah.
Apabila sudah demam, selera makan pun kurang. Jadi aku buatkan bubur nasi dan sup ketam kegemaran Along.

Moga kedua-duanya cepat sembuh. Hari ni Along ponteng tadika.

Di Wad Kecemasan

on Rabu, April 18, 2012

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera, Salam 1 Dunia.

Pagi kelmarin ketika bangun solat subuh, tiba-tiba perutku rasa memulas sangat-sangat. Aku segera ke tandas dan sempat pesan pada hubby supaya tengok-tengokkan baby. Aku mungkin akan lama dalam tandas tu. 

Apabila aku sedar, aku berada di atas lantai tandas sambil berbaring. Entah berapa lama aku pengsan, aku pun tak pasti. Aku bangun dan duduk semula tetapi aku rasakan seakan-akan darahku kering, terasa pening dan rasa nak jatuh sekali lagi. Cepat-cepat aku buka pintu dan gagahkan diri panggil hubby. 

Menurut hubby, wajahku putih (pucat) sangat-sangat. Tapak tangan pun dah tak ada darah. Aku lali seketika. Cepat-cepat hubby gosok-gosok tapak tangan aku seperti ingin panaskannya, dipicit-picit pipiku dan segera dibancuh milo pekat. Dipaksanya aku minum dalam tandas tu jugak.

Bila dah dah boleh berjalan, aku kembali berbaring. Tiba-tiba terasa lagi ingin membuang air besar. Macam cirit birit tapi lain sikit dari cirit-birit. Hanya perutku yang memulas tanpa ada isi yang keluar. Aku dah tak berdaya nak lakukan apa-apa.

Aku tak berdaya untuk kejutkan Along dan siapkannya ke sekolah. Akhirnya Along tak ke tadika, hubby pun ponteng kerja. Oleh kerana keadaanku makin teruk, hubby minta tolong kawannya untuk bawa kami ke Hospital Teluk Intan. Aku dah tak boleh nak pegang baby. Tanganku dah menggigil. 

Setahu aku, keluargaku memang ada masalah Anemia (Tekanan Darah Rendah) termasuk kakak dan mamaku. Sewaktu pendaftaran, 3 kali tekanan darahku diambil, tetap juga rendah. Aku ditahan di wad kecemasan untuk tindakan selanjutnya. Jam 2.30 petang aku masuk dan berbaring hingga jam 4.15 baru nurse datang ambil sample darah dan masukkan air.

Dah la darah aku sikit, ditumpahkannya pula...

Sepanjang aku di situ, aku tak dapat nak lelapkan mata. Macam-macam gelagat yang aku perhatikan. Ada 6 katil di zon kuning - tak kritikal (kalau tak silap aku) Pesakit yang masuk keluar dan menerima rawatan di wad kecemasan silih berganti tapi aku tetap di situ. 

Anak kecilku terpaksa diserahkan pada rakan sekerja hubby (isterinya tolong mengasuh) yang tinggal setaman denganku. Terima kasih Tina kerana tolong jagakan Si Kecil tu.

Ujian darah, Urine, Tekanan Darah, check jantung sudah aku lakukan. Tekanan darahku diambil sebanyak 5 kali dalam satu masa tetapi masih ditahap rendah. Selama 6 jam aku menerima rawatan dengan 2 botol air. Lagi sekali tekanan darah diambil. Menurut Doktor, kali ini tekanan darahku paling tinggi dari sebelumnya iaitu 101/52. Jam 8.40 malam aku dibenarkan keluar walaupun tekanan darahku masih tak memuaskan.

Hari ini hubby ambil cuti lagi kerana keadaanku masih lemah. Pagi-pagi mesti perutku mula meragam dan pening-pening. Aku mungkin akan dihantar balik selama 3 minggu ke kampung (Perlis) hujung minggu ini, InsyaAllah. Terima kasih pada Hubby yang bersusah payah kerana aku. Terima kasih juga pada kawan-kawan yang mendoakan kesihatanku juga saudara-mara di kampung yang bertanyakan keadaanku.

Air Oh Air

on Khamis, Februari 16, 2012

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera, Salam 1 Dunia.
Seawal pagi aku bangun uruskan anak-anak. Selepas Alongnya ke tadika, adiknya pula perlu ditidurkan semula. Baby kecil tu pun sibuk nak bangun awal-awal pagi setiap hari.

Apabila semuanya sudah beres, tiba masanya aku masuk ke dapur untuk membasuh pinggan mangkuk yang ditinggalkan semalam. Kalau dulu, lepas je makan terus aku bereskan dapur dan kosongkan sinki tapi sejak Along sekolah, aku kena temankan anak-anakku tidur. Pinggan-pinggan yang kotor, postpone dulu basuhnya.

Kalau Along tidur lewat, susah nak jaga waktu pagi. Terpaksa lah aku temankan Along tidur. Adiknya pun kena tidurkan juga. Apabila keadaan dah gelap, aku yang pada mulanya hanya nak teman terus hanyut sama tidur hingga lah terjaga jam 3 pagi. Segera bangun untuk tunaikan solat Isyak dan sambung tidur semula.

Pagi ni memang bersemangat la nak clearkan semua benda. Buka je paip air....kuang..kuang..kuang...bekalan air sudah di stop. Padan muka aku, tak dapat nak basuh pinggan mangkuk yang bersisa. Nak masak pun tak bersemangat.

Aku tak diberitahu pun tentang sebarang notis untuk berhentikan sementara bekal;an air. Tiba-tiba sahaja air dah tak ada. Biasanya hubby akan bagitau kalau terima notis di office.

Mungkin ini ada kaitan dengan wabak Gastroenteritis (AGE) yang menular sejak akhir-akhir ini di sini. Harap-harap kes ini cepat selesai.

Menurut berita yang aku baca, terdapat 188 kes jangkitan Akut AGE menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,444. Sudah 6 orang dimasukkan ke wad dan najis yang diuji dikesan mengandungi virus rotavirus.

Tak ada elektrik lagi baik dari tak ada air. Masih boleh teruskan hidup tapi kalau tak ada air, memang susah segalanya. Nak makan, kena basuh tangan. Air juga penghilang dahaga. Nak "u'uh" pun, kena guna air. Kalau tak ada air, susah nak hidup dengan sempurna.

Sudah lama tak jadi macam ni, air tak ada tiba-tiba. Harapnya, air cepat ada. Biasanya lebih kurang jam 1 petang dan ke atas air dah mula menitis.


Wabak Rotavirus Mengganas.

on Sabtu, Februari 11, 2012

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera, Salam 1 Dunia.

Petang ini ada sebuah kenderaan berhenti di tengah-tengah taman perumahan yang aku duduki. Aku kurang pasti samada kenderaan dari Jabatan Penerangan atau Kementerian Kesihatan sebab kedudukannya sedikit terlindung.

Kenderaan tersebut telah membuat announcement berkenaan wabak yang menyerang bayi dan kanak-kanak di sekitar kawasan ini. Inilah yang membimbangkan aku dan kebanyakkan ibubapa. Hubby dah bercadang nak hantar aku balik kampung apabila terdengar tentang wabak yang menyerang bayi dan dalam tempoh lebih kurang 4 jam sahaja, bayi akan maut setelah tanda-tanda wabak di kesan.

Sebagai ibu, aku pun rasa takut dengan wabak ini, tambah lagi ada anak kecil dan kawasan yang terlibat adalah kawasan tempat aku tinggal ni. Nauzubillahiminzalikh....

Yang menjadi persoalan aku sekarang, bagaimanakah penyakit tersebut menjangkiti bayi sedangkan bayi hanya minum susu? Adakah melalui susu formula yang dibancuh? Mengikut pengumuman yang dibuat, langkah berkesan mengelakkan wabak adalah; tidak dibenarkan makan ulam-ulaman, makan makanan mentah dan air perlu di masak terlebih dahulu. Ia lebih fokus pada orang dewasa. Mana ada bayi makan ulam.

Kepada ibubapa yang memberi minum susu formula, pastikan air tersebut dimasak semasak-masaknya dan rebus dahulu botol susu sebelum digunakan. Malang tidak berbau, cegah sebelum terlambat.


TAPAH: Punca kematian mengejut dua bayi awal minggu lalu, dipercayai akibat sejenis wabak dikenali sebagai Acute Gastroenteritis (AGE) yang dibawa virus rotavirus yang kini sudah menyerang 2,236 bayi di Perak. 

Difahamkan wabak dibawa virus itu tersebar melalui air dan makanan dan hanya menjangkiti bayi di Teluk Intan, Hutan Melintang, Chenderong Balai, Langkap di Hilir Perak dan Batang Padang, Tapah, di sini. Berdasarkan aduan diterima, rotavirus lebih mudah menyerang bayi berusia antara dua bulan hingga 10 bulan menyebabkan mangsa cirit-birit dan demam panas sebagai tanda awal. 

Exco Kesihatan Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata penemuan punca wabak AGE itu diperolehi hasil ujian makmal sejurus dua bayi mati mengejut awal minggu lalu. Katanya, virus berbahaya itu menyebabkan bayi menghidapnya hilang selera makan, sakit kepala, sakit perut, loya dan pelbagai tanda lain.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Taman Julaiha dan Kampung Teluk Buluh, Hutan Melintang, di sini, mempunyai simptom sama iaitu cirit-birit, demam panas, mata bengkak dan badan bertukar kehijauan. Menurut Dr Mah, sejak 27 Januari lalu sehingga semalam, 2,236 kes AGE dengan gejala cirit-birit dan muntah dikesan di dua daerah iaitu 1,397 kes di Hilir Perak dan 839 kes di Batang Padang.

“Bagaimanapun jumlah kes menunjukkan penurunan sejak seminggu lalu di hospital daerah itu. Kebanyakan kes AGE yang dikesan menunjukkan gejala cirit-birit dan muntah dan sebahagian besar bayi dijangkiti mendapat rawatan pesakit luar,” katanya pada sidang akhbar di Klinik Kesihatan Tapah, semalam. 

Menurutnya, kajian sedang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri Perak dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk mengenal pasti punca merebaknya wabak itu.

“Antara langkah berkesan bagi mengelak wabak itu merebak ialah memasak air sebelum diminum, membasuh tangan menggunakan sabun sebelum dan selepas makan serta ke tandas. Mengurangkan memakan makanan mentah seperti ulam atau tidak dimasak, memasak makanan dengan sempurna, membersihkan peralatan pemakanan dan minuman bayi dengan merebus terlebih dahulu sebelum digunakan,” katanya.

Mah berkata, orang ramai yang mengalami demam, cirit-birit, muntah, loya, sakit perut, sakit kepala serta hilang selera makan perlu segera mendapatkan rawatan. Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan lebih 440,000 kematian kanak-kanak dan bayi di seluruh dunia disebabkan rotavirus.





Keracunan Makanan.

on Rabu, Disember 28, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.
Sudah 3 hari aku tak dapat online. Jika ada yang perasan, post entry autopublish lepas tanpa tajuk (dah letak dah). Terlupa nak letak tajuk masa menaip tu. Nak buka tengok semula, tak boleh sebab badan dah tak bermaya. Aku dan puteriku yang sulung keracunan makanan.

Puncanya....aku pun kurang pasti.
Sebelum hubby bertolak ke Tasik Banding untuk memancing, seperti biasa hubby ada bekalkan bahan makanan seperti susu kotak setengah dozen, yogurt drink, biskut Lexus, Oat Cookies, susu anlene, yogurt cup, minuman vitagen sampai tak muat peti sejuk sementara ketiadaannya. 

Aku dan anakku pun makan makanan yang dibekalkan. Ada juga makan ABC (air batu campur) dan Chicken Chop malam tu. Sehari selepas tu masih ok. Siang hari Ahad tu, anak aku tak sempat nak ke tandas. Di buangnya dalam seluar. Malam Ahad lepas, hubby balik dari memancing. Tiba-tiba aku rasa memulas je perut dan terus c***t. Selang beberapa minit lepas tu m**t** pulak. Hubby keluar cari Pil Chi Kit Teck Aun untuk redakan sakit. Nak makan atau minum pun dah tak berselera, mesti keluar balik.

Anak aku tak teruk sangat sebab sekali sekala je. Aku yang paling teruk berulang-ulang sampai lembik dan nak pitam. Mungkin darah rendah juga. 

Aku cuba juga minum air garam. Nak cuba teh pekat tanpa gula bimbang pula susu badan berkurangan. Nak kunyah pucuk jambu (petua yang dah lama tak cuba), mana nak cari? Aku rebus biji barli untuk minum dan makan bijinya kerana lapar, nak makan benda lain tak berselera. Apa yang aku makan, semuanya keluar balik.

Kelmarin, 29 Disember baru hubby dapatkan ubat dari klinik panel. Baru ada selera nak makan. Hari ini masih bersisa cuma tak teruk seperti sebelumnya. Aku dah ada semangat untuk menaip tapi belum sempat nak blogwalk ke blog lain. InsyaAllah, lepas ni aku terjah kembali..





Gigi Sakit.

on Selasa, Disember 13, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Sejak dua tiga malam ni, aku sekeluarga tak nyenyak tidur kerana puteriku yang sulung sakit gigi. Siang malam asyik menangis apabila terasa sakit pada gigi yang berlubang.

Macam-macam petua yang aku jumpa dalam internet tapi dah namanya kanak-kanak, memang payah nak ubatkan cara tradisional. Salah satu petua yang mungkin berkesan adalah menggunakan bunga cengkih yang ditumbuk atau serbuk bunga cengkin dan diletakkan dalam gigi berlubang, InsyaAllah mesti sembuh.

Memang payah nak sembuh kalau empunya diri tak nak mencuba. Akhirnya terpaksa la bawa ke klinik panel untuk mengambil parasetamol dan antibiotik. Kalau ubat manis-manis, mau la si Along minum. Sebelum ke klinik, dia dah bagitau abahnya, nak ubat yang manis sahaja.

Kalau kata nak bawa ke klinik gigi, awal-awal lagi dah nangis tak nak pergi. Macam aku kecik-kecik dulu juga. Teringat lagi masa aku umur dalam lingkungan 8 hingga 9 tahun dulu, mama aku kata nak bawa ke rumah kawannya. Sampai saja depan pintu pagar klinik, aku terjun dari basikal dan terus lari balik ke rumah. Takut punya pasal...

Sampai ke hari ini, gigi Along masih sakit lagi. Sekejap sakit, sekejap ok dan begitulah berterusan. Di tengah-tengah malam mesti menangis kesakitan. Kalau dia tidur sambil buka mulut, mau saja aku letakkan bunga cengkin tu senyap-senyap tapi dia jenis tidur-tidur ayam, mudah terjaga. Jadi tak dapat la nak curi-curi letak.

Di sini aku kongsikan petua sakit gigi untuk panduan bersama. Mana tau tiba-tiba terasa sakit gigi.

1) Campurkan sedikit cuka dalam segelas air suam. Gunakan air ini untuk berkumur. Amalkan tiga kali sehari sehingga rasa sakit hilang.

2) Kunyah sedikit kapur sirih pada gigi yang sakit sehingga lumat. Amalkan sehingga rasa sakit gigi hilang.

3) Makan buah belimbing buluh bersama sedikit garam.

4) Untuk gigi berlubang, ambil getah pada tampuk buah betik muda dan sapukan pada gigi yang sakit dengan putik kapas.

5) Untuk gigi geraham berlubang, tumbuk seulas bawang putih hingga lumat dan masukkan sedikit cuka. Masukkan bahan tadi ke dalam lubang gigi.

6) Sapukan getah pokok kemboja pada gigi yang sakit.

Sumber: 101 Petua.

p/s: Jika ada selain petua di atas, boleh juga kongsikan di sini.








44 Hari Berlalu.

on Jumaat, Oktober 21, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Hari ini aku sudah selesai berpantang selama 44 hari. Berjaya juga akhirnya menahan segala selera. Yang bestnya, hari terakhir, mak mertuaku masak mee goreng bagi aku makan. Nak menolak takut kecil hati, maka aku makan la juga.

Dalam dua tiga hari ni aku sibuk sikit. Sibuk menunggu mak bidan (bidan kerajaan) untuk mengurut badan. Biasanya dua atau tiga hari selepas bersalin terus mengurut tapi itu jika bersalin normal la. Oleh kerana dibedah, aku buat keputusan untuk mengurut di akhir-akhir tempoh berpantang.

Proses mengurut dilakukan selama 3 hari. Kalau di kampung, sekali urut dikenakan bayaran sebanyak RM30 dan dibayar pada hari terakhir proses mengurut. Kiranya berbaloi la. Dari bacaanku dalam forum, ada yang dikenakan bayaran hingga ratusan ringgit untuk 3 hari. Mungkin mengikut tempat dan cara urutan serta penggunaan ubat-ubatan yang mahal kot. Aku hanya menyediakan minyak urut dari Amway dan minyak zaitun sahaja. Dulu aku menggunakan minyak tanak (minyak kelapa yang dimasak sendiri oleh mamaku).

Cara mengurut kali ini berbeza sedikit dari pengalaman mengurut anak pertama dahulu. Jika dahulu, tok bidan bertungku diikuti mengurut dengan tangan serta memijak dengan kaki, kali ini sekadar urut menggunakan tangan sahaja. Rasa ringan sahaja selepas mengurut. Berbengkung dan bertungku sahaja yang belum ku lakukan.

Hari Ahad ini aku akan balik ke Perak, InsyaAllah...
Mungkin ambil sedikit masa untuk aku aktif semula menulis seperti dulu. Maklumla, rumah dah tinggal lama sangat. Bila dah rasa selesa nanti, aku akan menulis lagi di sini...
Jumpa nanti di entry akan datang...

Sudah 40 Hari.

on Ahad, Oktober 16, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Hari ini sudah genap 40 hari. Tempoh berpantang ada lebih kurang 4 hari lagi. Kalau 4 tahun lalu aku berpantang hingga 100 hari, InsyaAllah berpantang kali ini juga akan aku cukupkan sehingga 100 hari. Cuma bab makan ni susah sikit nak berpantang betul-betul.

Kalau dulu aku ada juga curi-curi makan kuih dan ais pada hari raya, berpantang kali ini adalah bersih dan telus. Tak ada curi-curi makan seperti dulu lagi. Ini kerana berpantang kali ini lain sikit dari dulu mungkin sebab aku dibedah dan ingin cepat sembuh. Aku pun tak teringin sangat nak makan. Dah puas aku makan masa mengandung dulu.

Memandangkan berat badan terakhir aku masa mengandung 65kg, kini sudah turun ke 51.5kg (minggu lepas) walaupun belum berbengkung. Cepat pulak surutnya. My hubby pun terkejut tengok aku sudah kurus semula. Belum sempat bersenam lagi. Ingatkan perlu ambil masa yang lama untuk kembali kurus. Mukaku yang bulat juga sudah kembali ke asal. Segala bengkak-bengkak kaki, tangan dan jari sudah surut. Sudah boleh pakai cincin semula.

Dan yang paling seronok sekali, aku dah nak balik ke Perak sebaik sahaja lepas pantang nanti. Betapa rindunya aku pada rumahku walaupun hanya menyewa. Entah macam mana la keadaan rumahku sekarang. Biasanya kalau aku dihantar balik ke kampung, alamatnya rumahku bagaikan tongkang pecah. Kain baju tak berbasuh dan sinki penuh dengan pinggan mangkuk. Bertambah letih bila tengok keadaan rumah ketika itu. Harap-harap kepulanganku kali ini ke rumahku seperti mana aku tinggalkan 3 bulan dahulu.

Menurut kata my hubby, ada sedikit kejutan dengan suasana yang baru nanti. Nak tau juga apa kejutannya nanti...

Jumpa lagi di entry akan datang....




Terlebih Khasiat Haruan.

on Selasa, Oktober 11, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Pagi tadi aku diminta ke klinik desa untuk check luka czer. Nurse mengatakan bahawa luka pembedahan sudah sembuh tetapi ada sedikit masalah. Ada isi mentah yang tumbuh diluar kulit.

Nurse tu bertanya pada aku, adakah aku makan ikan haruan terlalu banyak. Jawapannya memang ya sebab menurut pelbagai pendapat, ikan haruan baik untuk menyembuhkan luka dalaman dengan cepat terutamanya luka pembedahan. Jadi, aku dah merasa makan pati ikan haruan, sup ikan haruan , ikan haruan bakar, ikan haruan goreng, asam pedas ikan haruan, segala-galanya ikan haruan...

Rupanya makan ikan haruan terlalu banyak juga mengundang masalah. Luka pembedahan di luar, Alhamdulilah sudah sembuh. Di dalam, wallahu'alam.

Bagaimana pula untuk menyembuhkan atau menghilangkan isi yang wujud itu? Jika sesiapa yang ada pengalaman tentang hal ini, diharap dapat kongsikan cara atau petua bagi menghilangkan isi tersebut. Isi tanpa kulit..

Menurut nurse, jika dibiarkan isi tersebut, mungkin akan jadi macam ketuat atau isi lebih tetapi jika isi tersebut semakin membesar, mungkin akan bermasalah. Nurse menyarankan aku untuk rujuk semula ke KMC atau ke klinik swasta, kemungkinan di situ ada peralatan atau bahan yang boleh mematikan,menghilangkan atau membuang isi tersebut. Di hospital kerajaan memang tak ada alat tersebut.

Nampaknya kena tunggu lepas pantang nanti la. Mungkin aku akan dapatkan rawatan lanjut di Ipoh setelah balik ke Perak nanti. Ada lagi 9 hari masa untuk berpantang.

Kenapa Baby Besar?

on Ahad, Oktober 02, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Buat muka hairan

Selepas aku bersalin, ramai yang terkejut bila melihatkan si kecilku terlalu besar. Dan ramai juga yang bertanyakan aku soalan yang sama iaitu "kenapa baby besar sangat?" Aku ada kencing maniskah? "Makan apa masa mengandung dulu?"

Pertama sekali, baby aku besar sebab kuasa Allah nak menjadikannya besar, Alhamdulillah sihat walafiat.

Aku pun tak pasti sebab-sebab lain yang menjadikan si kecil ni besar. Kalau difikirkan kembali pemakanan aku masa mengandung dulu, tak ada lah mengidam yang pelik-pelik. Yang aku ingat, aku suka minum air sarsi (habis sebotol jugak walaupun minum sikit-sikit), ais krim (stok tak pernah putus), air nyok (kelapa muda sekali dengan isinya), buah cempedak, durian, kurma (paling banyak, berkotak-kotak habis untuk aku seorang), air dan isi barli, susu anlene, roti potong dan di akhir-akhir mengandung aku makan sekali untuk 3 orang (2 hingga 3 pinggan) sebab walaupun aku dah kenyang, perutku tetap berbunyi (berkeroncong) seperti orang tak makan 3 hari. Kalau aku makan semangkuk laksa waktu malam, tengah-tengah malam pasti aku makan lagi semangkuk ataupun makan nasi sebagai penutup. Ketika ini aku sungguh berselera. Kalau ke rumah kenduri, macam aku makan dalam pinggan tambah. Mak mertuaku pun terkejut tengok. Kebanyakkan baju pregnant yang aku ada pun dah tak muat untuk aku pakai.

Ubat-ubatan pula, di awal kehamilan, aku makan ubat yang diberi oleh nurse dari Klinik Kesihatan dan 5 bulan keatas, aku hanya makan OBIMIN dari klinik panel.

Kesimpulannya, aku makan benda-benda manis dan makanan kabohidrat tinggi kot, sebab tu baby aku besar. Aku tak ada sebarang penyakit kronik atau 3 serangkai kecuali darah rendah (anemia).

"Tak nak baring...."

Seronok juga bila dapat baby besar sebab mudah untuk aku pegang, nak peluk pun best ni. Anak-anak jiran yang lahir 2 bulan lebih awal dari anakku baru mencapai berat 4kg lebih. Anakku pula dah mencapai berat 5kg dalam usianya 20 hari.

Sekarang ni, si kecil ni dah pandai meragam. Kalau terjaga, tak nak baring-baring lagi. Nak selalu di riba saja. Kalau letak atas tilam, nangis la dia. Kalau angkat dukung, peluk atau di riba, confirm diam.

Nyenyak tidur
Waktu siang, dia suka sangat tidur dan bila tengah-tengah malam, ajak ibunya join sekali berjaga malam. Alahai la anak, nak ajak ibu berjaga malam ye...

Dalam pukul 3 atau 4 pagi, mata mula mengantuk. Tak usah nak menyusu, dodoi di riba atau apa sahaja. Hanya satu ubatnya iaitu naik buaian. Sekejap sahaja mata terlelap. Baru berusia 20 hari lebih dah pandai nak naik buai. Nasib baik ada tok ayah yang rajin dodoikan dalam buaian di tengah-tengah malam.

Ketika ini, dia baru belajar-belajar nak senyum. Jadi belum ada gambar sedang senyum. Sebelum ini hanya senyum ketika tidur sahaja. Sikit hari lagi, ibu dah tak larat nak dukung bila berat dah makin meningkat.

Mengenali Bahan-bahan Perubatan.

on Jumaat, September 30, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.
Samsung Galaxy S

Tak tahu nak letak tajuk apa yang sesuai sebenarnya. Selepas menjalani pembedahan caesarean, aku mula dan perlu kenal jenis-jenis bahan seperti dalam gambar.Bahan-bahan di atas adalah berkaitan rapat dalam proses penyembuhan luka. Kalau nak berulang-alik ke hospital dan klinik hari-hari, dah jemu rasanya nurse nak tengok muka aku. Hari-hari asyik aku saja yang menjadi tetamu setia mereka (Rasanya belum jemu lagi sebab aku baru je sekali ke Hospital, dua kali ke Klinik Kesihatan dan sekali ke klinik desa). Best juga sebenarnya bila dapat keluar jalan-jalan, lihat alam sekeliling daripada terperap dalam rumah 44 hari.

Waktu aku dapatkan rawatan, nurse syorkan aku untuk membeli bahan-bahan tersebut di Farmasi. Sudah malaskah mereka??? Jangan marah ye para nurse sekalian...

Untuk memudahkan segala urusan, aku beli semua bahan yang diperlukan daripada berulang-alik ke hospital dan klinik. Aku lagi suka kalau tak payah ke klinik langsung. Dah la aku masih dalam pantang, nak kena keluar ke klinik untuk mencuci luka pulak. Lagi satu, menyusahkan bapa mertuaku pulak, nak hantar aku hari-hari. Kena hari ada majlis yang memerlukan diri beliau, aku juga yang susah sebab tak dapat nak keluar ke klinik. Jalan yang terbaik adalah membeli apa yang perlu. Jom kenali apa bahan-bahan di atas.

OPSITE SPRAY
Benda ni aku guna di awal-awal berpantang dulu selepas plaster pembedahan dibuka. Doktor pesan, jangan bagi kena air di tempat pembedahan. Maka inilah gunanya OPSITE SPRAY. Sembur je kat tempat yang dibedah tu. OPSITE SPRAY ni bagaikan lapisan kulit kedua yang jernih dan selesa. Ia melindungi kulit sementara membolehkan kulit menyerap udara. Ia akan tanggal dengan sendirinya. Sesuai digunakan untuk luka kecil yang kering, bahagian suntikan vaksin dan gelembong belum pecah.

Sempat guna dalam 3 hingga 4 hari. Sekarang ni setelah 23 hari, rasanya tak perlu lagi menggunakannya sebab dah boleh kena air.

NORMAL SALINE / SODIUM CHLORIDE
Merupakan ubat untuk mencuci luka. Bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman atau bakteria, maka NORMAL SALINE digunakan di tempat luka dan kawasan sekitarnya. Kalau nak cepat lega/sembuh, kenalah rajin mencuci. 2 hingga 3 kali sehari pun tak mengapa, kata nurse tu.

Terfikir jugak aku untuk meletakkan sahaja UBAT IBU GAMAT, MINYAK GAMAT dan yang berkaitan dengan GAMAT tetapi apabila teringatkan kata-kata Doktor dan melalui pembacaan, tak jadi untuk aku teruskan niat tersebut. Silap-silap letak, luka jadi makin parah. Siapa yang susah? Aku dan keluargaku jugak. Ada juga orang syorkan aku untuk letakkan lendir ikan haruan di tempat luka supaya cepat sembuh. Macam-macam petua yang ada.

Plaster Micropo, kapas dan kain (apa namanya tah...)
Untuk melekatkan kapas atau kain atau sebarang benda yang boleh dilekatkan.

Itu sahaja bahan-bahan yang diperlukan untuk masa ini. Langkah seterusnya, mula lah mencuci menggunakan bahan-bahan yang diperlukan.

Di klinik, tangan nurse yang telah berpengalaman tak sama dengan nurse pelatih. Bila nurse yang berpengalaman ni cuci, punya la sakit dan pedih tak tertahan tapi bila nurse pelatih yang buat, langsung tak rasa sakit tapi ambil masa yang lama sebab masih kekok menggunakan peralatan dan bahan yang ada. Apa-apa pun, terima kasih semua.

Hadiah Birthday?

on Ahad, September 25, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Hari ni, 25 September merupakan hari lahir ku ulangtahun kelahiranku yang ke 29 (tak ada rahsia-rahsia). Bertambahnya usia bermakna usiaku dah semakin pendek. Setiap tahun pasti ada sambutan atau kejutan dari my hubby tapi sayangnya tahun ini aku berada dalam pantang dan jauh dari suami...(kesian kan?). Maka tak ada la kek atau apa-apa yang boleh dimakan melainkan ucapan hari lahir, nasi, ikan haruan kering dan yang seangkatan dengannya. Hadiah dari my hubby dah lama aku dapat, Samsung Galaxy S tapi rasanya macam nak hadiah lagi la...(tamak haloba betul la.....)

Terima kasih pada rakan-rakan blogger yang ucap selamat di Facebook, kawan-kawan sekolah, saudara mara dan semua yang mengingati diri ini.

Hari ini aku menghabiskan masa setengah hari di Unit Kecemasan Hospital Tunku Fauziah, Kangar Perlis. Hari ini kan Ahad, jadi hanya Unit Kecemasan di buka untuk semua pesakit.

Gambar kat atas tu la hadiah dari Doktor untukku. Nah, ambik...makan la sampai habis ubat tu...Lepas satu hal, muncul lagi satu hal. Belum pun hilang sakit pembedahan, kini aku terpaksa berulang-alik ke Klinik Kesihatan mulai esok untuk mencuci luka. Entah di mana silapnya. Nak kata makan tak pantang, tak juga sebab aku memang betul-betul bersemangat berpantang ni. Nak dikatakan terkena air, telah ku beli OPSITE SPRAY seperti yang disyorkan untuk mengelakkan terkena air. Ujian dan dugaan ini akan ku tempuh dengar sabar, InsyaAllah.

Kesian pada baby sebab kena tinggal....kena minum susu botol la sementara ibu tak ada di sisi. Beratnya pun dah semakin bertambah. Hobinya, minum susu, berak, tidur...Sebelum subuh dalam pukul 4 atau 5 pagi dah bangun. Dalam pukul 8-9 pagi bar sambung tidur semula.

Dulu bila dengar cuci luka, rasa ngeri juga kerana terbayangkan bagaimanakah berus yang tajam tu digosok pada kulit badan untuk mencuci luka. Kini baru ku tahu rasanya yang sebenar. Betapa pedihnya bila luka dicuci. Nak elakkan dari berurusan dengan Doktor lelaki, kali ini terpaksa juga nampaknya.

Isnin lepas aku ke Klinik Kesihatan untuk menanggalkan plaster yang dilekatkan selepas pembedahan. Nurse kata, ok boleh balik. Dua tiga hari selepas tu, aku mula rasa tak selesa dan kelmarin paling teruk aku alami kesakitan. Bimbang juga dijangkiti kuman. Maka terpaksalah aku ke Hospital untuk mendapatkan rawatan. Nak ke Kedah Medical Centre (KMC), tak sanggup rasanya nak melalui perjalanan jauh dengan keadaanku sekarang yang berada jauh di utara Perlis.

Harap-harap cepat sembuh, dah rindu sangat kat rumah sendiri...Lepas je pantang, terus nak balik Perak.

Pengalaman Bersalin Kali Ke 2.

on Sabtu, September 17, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.


Setelah seminggu merehatkan diri, aku rasakan keadaan kesihatanku beransur pulih. Alhamdulillah. Baby pun tak ada banyak masalah. Kuning tu biasa la, setakat 10.1 pada hari ke 4 dan hari ke 6, turun ke 9.1. Nama masih belum didaftarkan kerana segala dokumen yang diperlukan ada di Perak.

Pengalaman bersalin secara pembedahan.
Kesinambungan dari kisah Permintaan Terakhir Sebelum Esok, 6 September 2011, jam 2 petang bertolak dari Perlis ke Kedah, dihantar oleh ibu dan bapa mertuaku. Jam 3 petang, aku berjumpa dengan Doktor dan menyatakan hasratku untuk bersalin (walaupun tak terasa sakit) dan jam 5 petang aku daftarkan diri untuk masuk wad. Tinggallah aku keseorangan menanti hari esok (tak ada sesiapa yang menunggu sebab tak ada rasa sakit yang memerlukan pertolongan orang lain) Menurut Doktor, pagi esok jam 8 pagi aku akan dibawa ke bilik bersalin dan akan di induce. My hubby dalam perjalanan pulang dari Perak dan dijangka sampai di sebelah malam.

Tanggal 7 September 2011, aku di bawa ke bilik bersalin dan di pasang alat stethoscope untuk memeriksa jantung bayi, di induce dan melihat kontraksi yang berlaku. Ketika dimasukkan ubat, sakitnya hanya Allah yang tahu. Walaupun ada kontraksi, namun tiada tanda-tanda untuk bersalin. Aku disarankan untuk mengambil ubat tahan sakit supaya dapat aku tidur. 2 jam setengah menahan sakit, barulah aku bersetuju untuk mengambil suntikan tersebut. Namun rasa sakit tidak hilang begitu sahaja walaupun mataku mengantuk.

Bukaan rahim hanya 3cm dan dalam masa 2 jam hanya terbuka 6cm. Air mentuban dipecahkan. Aku menangis kesakitan tapi tiada air mata yang terkeluar. Kata-kata semangat dari my hubby hanya perkataan "SABAR". Kali ini my hubby menarik diri dari berada bersamaku kerana keletihan memandu kereta, pening dan masalah darah rendah. Dikhuatiri dia pulak yang akan pengsan. Dari jam 8 pagi hingga jam 12 tengahari, tiada tanda-tanda untuk aku bersalin secara normal. Aku sudah mulai keletihan dan tidak berdaya lagi menahan kesakitan. Pintu rahim hanya terbuka setakat 6cm.

Tiada cara lain lagi untuk aku bersalin selain pembedahan. Doktor menyuruh staf nurse menyiapkan dokumen untuk ditandatangani dan memanggil my hubby untuk meminta persetujuan bagi menjalankan pembedahan. Jantungku mula berdebar-debar. Sudah la aku takut jarum, inikan pula hendak di bedah. Kalau aku masih bertenaga, ingin rasanya aku cabut lari dari situ. Sebelum aku diminta tandatangani surat keizinan, sempat aku pohon kemaafan dari my hubby kiranya terjadi apa-apa padaku.

Setelah ku turunkan tandatangan (walaupun takut, ku relakan jua), aku ditolak ke bilik pembedahan dan diberi tempoh selama 1 jam untuk operasi pembedahan. Dewan bedah itu terlalu sejuk. Aku dibius oleh pakar bius separuh badan melalui tulang belakang. Aku rasakan seluruh badanku menjadi lemah. Hanya mata dan fikiranku sahaja yang masih berfungsi. Suaraku juga tidak kedengaran, hanya gerakan mulut dapat ku lakukan jika ditanyakan sesuatu padaku.

Aku mula dibedah. Langsung tidak terasa sakit. Hanya kesejukan yang aku alami hinggakan badan dan kedua-dua belah tanganku menggigil seperti stroke. Mataku tertumpu hanya pada jam dinding yang kebetulan ada di sebelah kiri. 1.30 petang...1.40 petang dan 1.41 petang...terdengar tangisan bayi dan serentak itu ada sorakan dari pakar-pakar bedah dan semua staf yang terlibat mengatakan perasaan seronok, terkejut dan gembira. Syukur Alhamdulillah...

Aku diminta untuk mengesahkan jantina bayi, nombor yang bakal diikat di tangan bayi dan diminta untuk mencium pipi bayiku beberapa kali sebelum dihantar ke nuseri. Sempat juga aku bertanyakan berat bayi walaupun keadaanku yang lemah dan mengantuk kesan ubat bius. Hanya anggaran 4 kilo yang aku dapat kerana bayiku akan ditimbang dan diikhomahkan di nuseri.

Terasa badanku hampir beku. Aku diletakkan seketika di bawah alat pemanas bagi mengurangkan gigilan kesejukan sebelum ditolak masuk semula ke wad. Beberapa kali aku muntah selepas pembedahan. Ketika ini aku rasakan sakit di perut. Mataku mulai terlelap dan terjaga apabila terasa hendah muntah.

Selepas pembedahan, ramai saudara mara yang datang melawatku namun hanya suara sayup-sayup kedengaran kerana aku lali dengan ubat yang diberikan. Memang tidak berdaya langsung untuk mengeluarkan suara. Aku diberitahu oleh my hubby bahawa bayi kami adalah yang terbesar dan terberat di KMC pada ketika itu.

Sehari selepas pembedahan, terasa lenguh seluruh badan kerana aku langsung tidak menggerakkan badan ke kiri mahupun ke kanan. Doktor menasihatkan aku untuk bergerak perlahan-lahan ke kiri dan ke kanan jika mahu lekas pulang kerana soalan pertama yang aku ajukan ialah "Bila boleh balik Doktor?" Jawapan Doktor, "Kalau buleh bejalan, la ni pun buleh jalan balik"

Aku terpaksa tidur di wad selama 3 malam bagi memastikan aku betul-betul mampu berjalan. 9 September jam 4 petang, aku dibenarkan pulang. Satu lagi kesakitan yang terpaksa aku hadapi iaitu jalan yang tidak rata dan sekata sepanjang perjalanan dari Kedah Medical Centre (KMC) ke Perlis. Aku asyik marahkan my hubby jika terasa hentakan dan jawapannya, kita bukannya naik kapal terbang....
Sabar je la...

p/s: Dijemput semua blogger yang membaca entry ini hadir ke 505, Abi Kubang Badak, Kangar, Perlis pada 17hb September 2011 ini kerana diadakan sedikit kenduri sempena kelahiran, cukur jambul dan bertahnik.

Terima Orang Baru.

on Rabu, September 14, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Mesti ramai yang tak sabar-sabar nak tengok orang baru kan...? Aku telah selamat melahirkan bayi perempuan seberat 4.40kg.

Baby ni dilahirkan pada 7 September 2011 di Kedah Medical Centre secara pembedahan. Sama tarikh lahir dengan Alongnya. Jadi boleh save bajet untuk kek birthday untuk tahun-tahun akan datang.

Berusia 2jam 20 minit

Tak ada rasa sakit sedikit pun ketika masuk wad dan di bawa ke bilik bersalin.. Apabila dah tak rasa sakit maka aku di induce untuk melahirkan baby ni. Aku terpaksa menahan sakit selama 4 jam selepas induce untuk bersalin secara normal namun segalanya telah ditentukan. Oleh kerana baby besar sangat iaitu seberat 4.40 kg, maka pembedahan terpaksa dilakukan.

Berusia 4 hari.

Nak cerita pengalaman besalin di sini buat masa ini, rasanya kurang sesuai kerana keadaan kesihatanku tidak mengizinkan. Tak boleh nak duduk lama-lama sebab masih sakit lagi kesan pembedahan...

InsyaAllah, apabila rasa sihat sikit, aku akan up date lagi.


Permintaan Terakhir Sebelum Esok.

on Selasa, September 06, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Apa khabar semua pembaca yang sudi singgah di Teratak Usang? Diharapkan anda semua sentiasa sihat di samping menjalani tugas-tugas harian. Aku di sini, pada ketika ini, hari dan detik ini masih sihat walafiat dengan berat badan yang tak pernah dijangka iaitu 65 kg (sebelum ini antara 45 hingga 47 kg sahaja). Bayangkan dengan ketinggian 153cm, membawa bebanan seberat 65kg, cukup sukar untuk bergerak atau berjalan. Dengan keadaan kaki yang bengkak, timbul segala urat saraf yang sebelum ini langsung tak kelihatan.

Tengah hari tadi aku ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar Perlis untuk melakukan pemeriksaan jantung bayi dalam kandungan. Jika mengikut jangkaan sebenar, hari ini adalah hari ke 8 aku lewat untuk bersalin (Kalau Doktor tahu, mesti dah kena marah dan dipaksa bersalin sebab dah melebihi 7 hari). Tetapi pada kad pemeriksaan, 3hb lepas adalah tarikh yang tertulis. Bermakna, rekod di klinik mahupun hospital berkenaan tarikh bersalin sudah lewat 2 hari.

Keadaan di Hospital sungguh tidak selesa. Setelah selesai proses pemeriksaan jantung, hampir 1 jam setengah pula aku menunggu Doktor untuk pemeriksaan selanjutnya (scan) kerana sudah lama aku tidak membuat sebarang pemeriksaan sejak balik ke kampung. Terlalu ramai ibu-ibu yang menunggu untuk bersalin hinggakan ada yang terpaksa menahan kesakitan di atas kerusi kerana katil di bilik bersalin sudah penuh. Kesian pulak aku tengok.

Apabila tiba giliran aku, aku dibawa ke bilik scan. Menurut Doktor, bayi dalam kandunganku terlalu besar iaitu 3.4 kg dan boleh mencapai 4kg jika dibiarkan terlalu lama. Maka Doktor memberi aku 2 pilihan samada masuk wad hari ini atau menunggu dalam masa seminggu lagi. Doktor cadangkan aku untuk masuk wad pada hari ini juga.

Dalam hati...."Masuk hari ni? Tak sanggup rasanya nak tahan sakit atas kerusi..."

Kataku pada Doktor, " Kalau saya perlu masuk hari ini, saya tak nak bersalin di sini. Saya nak bersalin di Kedah."

Nasib baik aku dibenarkan untuk buat pilihan dan dilepaskan dari ditahan. Syukur sangat-sangat. Sekurang-kurangnya aku masih punya masa untuk menenangkan diri walaupun terpaksa.

Setelah berbincang melalui call dan SMS dengan my hubby yang sedang bertugas di Perak, keputusan dibuat walaupun hatiku kurang bersetuju (takut pun ada). Aku disuruh pergi ke Kedah Medical Centre (KMC) bersama bapa mertuaku pada hari ini juga. Aduh...terasa kejamnya...hari ini disuruhnya aku pergi menyerah diri?

Aku minta ditunda keesokkan harinya kerana hari ini aku nak makan puas-puas. Bapa mertuaku ingin menghantarku pada petang esok tetapi my hubby menyuruh aku masuk wad pada jam 12 tengahari esok juga. Kenapa la nak cepat-cepat? Takut aku yang 4 tahun dulu belum lagi hilang. Namun aku pasrah jika itu yang dikehendakinya...

Oleh kerana aku bakal berjuang esoknya, hari ini suka-suka hati aku memesan bihun sup dan koewteaw goreng pada bapa mertuaku. Alhamdulillah..permintaan terakhirku ditunaikan. Lepas makan bihun sup, aku makan pula koewteaw. Berselera betul aku mengisi perut dan menambah berat badan. Patut la, beratku semakin bertambah. Seleraku tak pernah berkurang.

Masa berpantang nanti akan aku kuruskan kembali berat badanku ini (tekad dalam hati). My hubby asyik hantar MMS gambar aku ketika slim dulu. Dulu nak sangat aku gemuk sikit. Sekarang ni bila dah gemuk macam ni, nak suruh aku cepat-cepat kembali slim seperti dulu pulak. Tak faham aku dengan keadaan ini. Tak payah nak disuruh, aku sendiri memang simpan hasrat itu sejak tahun lepas (siap beli korset dan girdle yang belum sempat aku gunakan lagi).

Kalau bersalin 7 September, akan sama tarikh lahir dengan Alongnya tapi abahnya pula nak dicepatkan.

Malam ini aku telah pun berkemas segala barang-barang yang perlu di bawa. Aku cuba untuk tenangkan hati, tenangkan minda dan menerima seadanya keputusan yang telah dibuat. Esok aku akan mula berjuang. Doakan kejayaan untukku...

Aku akan berehat panjang selepas hari esok. Moga-moga aku tabah untuk hadapi hari esok dan 44 hari akan datang...
InsyaAllah..

Pokok Kapal Terbang.

on Isnin, Julai 04, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.
Ramai yang tidak kenal dengan tumbuhan ini terutamanya generasi muda sekarang ini. Pokok ini dikenali sebagai Pokok Kapal Terbang atau Pokok Jepun atau Pokok Jernam. Dalam pertanian, ia merupakan tumbuhan rumpai yang perlu dibuang tetapi tumbuhan ini amat berguna dalam perubatan tradisional.

Pokok Kapal Terbang adalah tumbuhan beracun dan memudaratkan tetapi ia merupakan ubat terbaik terutamanya sebagai penahan darah atau ubat luka yang sangat mujarab.

Beberapa bulan lepas, terjadi suatu ketulan bewarna merah sebesar ibu jari di bawah telinga anakku yang berusia hampir 4 tahun. Apabila ditekan ketulan yang lembut itu, akan terasa sakitnya.

Kes ini dirujuk pada Doktor Panel dan Doktor memberi tempoh selama seminggu untuk mencuba ubat yang diberikan iaitu ubat minum dan ubat sapu. Jika tiada perubahan, anak aku akan dihantar ke specialis untuk dibedah bagi membuang ketulan tersebut kerana bimbang ia akan membesar. Disyaki sebagai Lipoma dan perlu dibuang/ dibedah kerana ia tidak akan hilang begitu sahaja.

Apabila dilihat tiada perubahan, mertuaku syorkan untuk berubat di kampung selama 3 hari berturut-turut menggunakan air, kapur, sireh pinang dan limau nipis. Tiada juga tanda-tanda untuk sembuh tetapi ketulan tersebut seolah-olah membesar dan kelihatan warna kehitaman.

Bapa saudaraku pula mencadangkan agar aku mencuba perubatan tradisional menggunakan tumbuh-tumbuhan iaitu Pokok Kapal Terbang dan kapur. Mungkin inilah ikhtiar terakhir sebelum kami mengambil keputusan untuk menghantar anak ke pakar bedah.

Pokok kapal terbang dicari dan ditumbuk lumat, dicampurkan dengan sedikit kapur makan dan disapukan pada ketulan tersebut. Dengan kuasa Allah, lebih kurang beberapa jam, aku lihat ketulan itu surut, pecah sedikit dan mengeluarkan nanah. Apabila ditanya pada anakku, katanya dia tidak merasa sakit melainkan apabila dipicit atau ditekan pada tempat tersebut.

Gembira hatiku tidak terkata apabila melihatkan perubahan yang berlalu. Syukur, Alhamdulillah, mujarab juga petua yang bapa saudaraku syorkan. Kini aku tak perlu risau lagi untuk menghantar anakku ke Ipoh untuk dibedah kerana ketulan atau benjolan tersebut hampir surut dan kini telah sembuh sepenuhnya. Cuma tinggal parutnya sahaja.

Info:
Tumbuhan ini berasal daripada Hindi Timur, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Tumbuhan ini dikelaskan sebagai tumbuhan rumpai dan adalah dari Famili Asteraceae, Compositae. Nama-nama lain tumbuhan ini adalah Osmia odorata, Chromolaena odorata, Siam Weed, Christmas Bush, Bitter Bush dan Baby Tea. Tumbuhan ini mempunyai batang bebusa dan boleh mencapai ketinggian 2.5 meter. Daunnya mempunyai bau. Daun dan bunga diguna untuk merawat luka dan sebagai racun serangga.-Wikipedia.

Tumbuhan ini boleh menyebabkan kerosakan hati terutamanya pada kanak-kanak. Hanya digunakan di bahagian luar sahaja. Pokok kapal terbang juga boleh meredakan kembung perut dan cirit-birit pada bayi. Caranya: Uparkan daun kapal terbang sehingga mengeluarkan buih/air, sapukan pada perut dan dibarut. Boleh juga digunakan dengan disapukan pada kulit yang gatal. Selain itu, daun kapal terbang juga boleh digunakan untuk memeram buah pisang dan cempedak. Sumber: Loqman Hakim

Kayu Sugi Dan Khasiatnya.

on Khamis, Jun 30, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Pokok Kayu Sugi

Setelah Google, inilah rupanya pokok kayu untuk bersugi. Besar juga pokoknya. Pokok ini dikenali sebagai pokok "Araa" di tanah Arab. Bersugi adalah salah satu Sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.


Kayu Sugi

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa "solat yang dikerjakan dengan bersugi adalah 70 kali lebih baik daripada solat tanpa bersugi" dan "hendaklah kamu mengambil berat tentang bersugi kerana bersugi mempunyai 10 faedah".

Kebaikan Bersugi/ Siwak adalah:
  1. Membersihkan mulut.
  2. Mendapat keredhaan Allah.
  3. Tidak disukai syaitan.
  4. Allah dan Malaikat mengasihi orang yang bersugi.
  5. Mengharumkan mulut.
  6. Menguatkan gusi.
  7. Menghapuskan Safra (Sejenis penyakit).
  8. menghilangkan kahak.
  9. Menguatkan pandangan mata dan
  10. Menghilangkan bau busuk mulut.
Baru-baru ini ada saudara yang baru pulang dari Makkah dan menghadiahkan aku kayu sugi tapi sehingga sekarang aku tidak menggunakannya kerana tidak tahu cara yang betul untuk menggunakannya. Sayang juga nak gunakannya.

Di sini aku kongsikan cara untuk menggunakan kayu sugi:

1. Batang atau cabang siwak dipotong berukuran pensil dengan panjang 15-20 cm. Stick kayu siwak ini dapat dipersiapkan dari akar, tangkai, ranting, atau batang tanamannya. Stick dengan ukuran diameter 1 cm dapat digigit dengan mudah dan dapat memberikan tekanan yang tidak merosak gusi apabila digunakan

2. Kulit dari stick siwak ini dihilangkan atau di buang hanya pada bahagian hujung stick yang akan dipakai sahaja.

3. Siwak yang kering akan merosak gusi, sebaiknya direndam dalam air segar selama 1 hari sebelum digunakan. Selain itu, air tersebut juga dapat digunakan untuk kumur-kumur.

4. Bahagian hujung stick siwak yang sudah dihilangkan kulit luarnya digigit-gigit atau dikunyah-kunyah sampai berjumbai seperti berus.

5. Bahagian siwak yang sudah seperti berus digosokkan pada gigi, dan boleh digunakan untuk membersihkan lidah.

Oleh kerana aku hanya ada sebatang kayu sugi, maka aku gunakan berus biasa bersama ubat gigi yang mempunyai kandungan kayu sugi seperti di bawah ini.

Anemia Dan Pemakanan.

on Sabtu, April 30, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Asyik bercerita tentang tingkatkan trafik blog bahagian 1 dan bahagian 2, hari ni berubah arah ke bahagian kesihatan pula. Tahukah anda apa itu Anemia? Mungkin situasi ini biasa dialami bagi ibu-ibu mengandung. Namun begitu, penghidap atau pembawa thalasemia juga akan mengalami keadaan yang hampir sama. Seseorang yang mengalami keadaan ini akan sering keletihan, pening dan tidak bermaya.

Anemia atau pucat atau kurang darah merupakan satu komplikasi yang sering melanda ibu hamil. Kurang darah adalah keadaan di mana kepekatan darah merah berkurangan daripada biasa atau dalam kata lain kekurangan hemoglobin dalam darah.

Sewaktu mengandung, keperluan hemoglobin untuk ibu dan anak melebihi dari biasa iaitu tidak kurang dari 11 gm. Kekurangan darah sewaktu hamil memberi akibat buruk pada kandungan jika tidak diatasi dan dirawat. Lazimnya, anemia yang tidak dirawat menyebabkan ibu mengalami keguguran atau melahirkan anak tidak cukup bulan. Bayi dalam kandungan juga kecil dan tidak cukup berat badan.

Beberapa cara boleh dilakukan bagi mengatasi masalah berikut seperti tambahan darah dan vitamin sampingan iaitu zat besi pada si ibu. Bakal ibu juga digalakkan memakan makanan yang membina sel darah merah.

Oleh kerana aku merupakan salah seorang yang mengalami anemia, maka Doktor telah memberikan senarai makanan yang sesuai untuk menambah darah. Tekanan darahku juga semakin rendah. Patut la aku sering merasa keletihan dan tidak bermaya setiap hari. Aku kongsikan senarai makanan untuk sesiapa yang senasib denganku.

Tidak semua makanan yang disenaraikan dapat dimakan sesuka hati. Contohnya organ dalaman. Islam mengajarkan sesuatu yang bertentangan sama sekali dengan ilmu sains. "Janganlah kamu makan organ dalaman". Walaupun Nabi berkata jangan tetapi ulamak lebih menjatuhkan hukum makhruh dalam keadaan ini dan bukan mengharamkannya.

Sememangnya dari segi perubatan, organ dalaman dikatakan baik untuk menambah darah. Namun begitu, anda digalakkan membaca Pertembungan Sains dan Ilmu Wahyu dalam pemakanan. Nilaikanlah mana yang terbaik untuk diri anda. Jangan lupa amalkan rahsia sihat selalu.

Sesiapa yang berpengalaman atau mempunyai tips berguna, boleh juga kongsikan di ruangan komen.

Hasil Ultrasound

on Jumaat, Mac 25, 2011

Assalamualaikum,
Salam 1 Dunia.

Minggu lepas aku telah ponteng ke Klinik Kesihatan. Sengaja ponteng sebab my hubby kadang-kala kerja jauh dan ada ketikanya ada breakdown dan perlu diselesaikan secepat mungkin. Jadi awal-awal lagi aku dah berbincang untuk tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan oleh jururawat. Biasanya rawatan ditetapkan pada hari Isnin dan Rabu.

Akibatnya, aku mula fobia setiap kali telefon rumah berdering. Dup dap..dup dap..debaran jantung terasa. Ya la, kalau ada naik nombor telefon, tak la aku se"fobia" ini. Setiap kali telefon berdering, kalam kabut aku mencari alasan sebab ponteng klinik. Mula la hidupku tidak tenteram menunggu panggilan telefon dari klinik.

Tiga hari selepas itu, panggilan yang ditunggu-tunggu pun tiba. Nasib baik panggilan dibuat melalui handphone, boleh la aku bersedia dengan jawapan. Aku terpaksa menipu mengatakan aku masih berada di kampung sejak cuti sekolah dan belum pasti bila akan pulang semula ke Perak. Kalau aku katakan aku dah malas nak ke klinik, risau juga kalau-kalau jururawat tu rajin untuk membuat Lawatan Rumah. Sejak aku terima panggilan dari klinik tu, lega rasa hati.

Oleh kerana bekalan ubat dah nak habis, baru aku terasa nak ke klinik tapi bukan ke klinik kerajaan. Nasib baik TNB sediakan panel klinik, itulah pilihan yang aku ada. Kalau dah free, siapa yang tak nak kan? Lagipun jimat masa menunggu. Suka-suka hati dan bila-bila masa saja ikut masa terluang untuk check up. Lagipun doktor tu dari Hospital Kerajaan juga dan yang pastinya doktor perempuan. Tak la malu sangat bila nak scan atau ultrasound.

Pemeriksaan kandungan di klinik panel dibuat sama seperti di klinik kerajaan. Mula-mula check urine, tekanan darah, timbang dan scan. Namun ada perbezaan antara klinik kerajaan dengan klinik panel.

Klinik kerajaan
Perlu mengambil nombor giliran dan menunggu lama (jika ramai pelanggan). Setiap tiga minggu perlu ke klinik untuk berjumpa jururawat dan sebulan sekali perlu ambil darah dan berjumpa Doktor. Selalunya doktor lelaki. Masa yang ada untuk menunggu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian. Sesetengah klinik (di Kedah) ada memberikan penerangan yang berkaitan dengan kehamilan, penyusuan, HIV dan sebagainya tapi malangnya di klinik tersebut, tiada pengisian sebegitu. Jururawat ramai tapi sibuk dengan tugas masing-masing.

Klinik Panel
Selalunya akan telefon klinik dan bertanya samada doktor ada atau tidak pada hari dan masa tersebut. Jimat masa menunggu. Setiap kali temujanji, terus berjumpa doktor dan tak perlu lagi melalui jururawat. Selesai urusan pemeriksaan, ambil ubat dan terus balik.

Inillah hasilnya...
Dari pengalaman lalu kalau di klinik kerajaan, hanya boleh lihat je gambar di scren dan hanya graf bernombor sahaja yang diberi. Di klinik panel, nak gambar kecil atau besar, doktor akan print dan boleh bawa balik ke rumah. Puas hati boleh tengok gambar baby.

Dengan usia kandungan 16 minggu iaitu lebih kurang 4 bulan, Alhamdulillah semuanya ok. Menurut doktor, kedudukan baby ni pelik sikit. Selalunya bayi akan berkeadaan terlentang ke atas tapi baby aku ni macam berkeadaan menunduk menghadap uri. Tapi tak perlu risau kerana kedudukannya akan berubah dan bergerak dari semasa ke semasa. Ukuran dan lilit kepala bayi sesuai dengan usia kandungan.

Temujanji seterusnya, sebulan akan datang. Pesan doktor, jangan lupa telefon dulu sebelum datang.
 
© TERATAK USANG All Rights Reserved