Kisah Paling Seram - Geng Blogger.Com

on Jumaat, Mac 05, 2010

Kisah paling seram ini telah dianjurkan oleh Geng Blogger. Oleh itu, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menggambarkan kembali kisah yang pernah aku lalui suatu ketika dahulu.

Peristiwa ini berlaku 9 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2001 ketika aku mula menuntut di tingkatan Enam Atas Sek. Men. Keb. Guar Chempedak, Kedah. Walaupun sudah ke tingkatan Enam, aku merupakan pelajar baru di sekolah itu (Pelajar Ekspres sebab terus ke tingkatan Enam Atas tanpa melalui Tingkatan Enam Bawah).

Oleh kerana jarah antara rumah dan sekolah terlalu jauh, aku mengambil keputusan untuk menginap di Asrama sekolah. Kawan baikku yang sudah lama belajar di situ menasihatkan aku agar aku berulang-alik sahaja dari rumah. Tetapi ketika itu, ibuku kurang berkemampuan untuk menanggung segala kos perbelanjaan harian termasuk makan minum dan tambang bas. Tambahan pula ibuku merupakan ibu tunggal dan tidak bekerja. Kami hanya bergantung pada wang pampasan bapaku yang tidak seberapa. Maka terpaksa lah aku tinggal di asrama untuk menjimatkan kos.

Malam pertama aku di asrama, sukar untuk aku melelapkan mata. Maklumlah masih terlalu baru. Teringat bantal busuk di rumah. Tak sanggup aku hendak bawa menaiki bas. Aku hanya menggunakan bantal asrama yang disediakan. Akhirnya, entah jam berapa aku terlelap juga.

Tut..tut..aku terkejut dari tidur dan melihat jam di tangan. Masih terlalu awal lagi untuk aku bangun, baru jam 4 pagi......aduh....waktu-waktu begini terasa pula ingin membuang air. Hendak pergi ke tandas sejauh empat pintu kamar asrama seorang diri, takut juga. Akhirnya aku mengejutkan teman di sebelah katil sebagai peneman. Dalam keadaan malas, dia pun sudi untuk temankan aku. Dari jauh kedengaran tapak kasut menuruni tangga beramai-ramai. Hatiku berasa lega seketika kerana menyangka ada kawan lain yang ingin ke tandas ketika itu. Serentak dengan itu juga terdengar pintu bilik air yang dihempas kuat.

Dalam hatiku berkata, biasa la pagi-pagi buta ni memang sunyi. Sebab itu bunyi yang kecil pun akan jelas kedengaran. Sampai sahaja kami di tandas, krekkkk.....??? dup..dap..dup..dap..dup..dap..jantungku terus berdengup kencang. Tiada sesiapa yang kelihatan di situ. Terasa kecut seluruh tubuhku dan seolah-olah lututku menjadi lembut memikirkan apa yang terjadi dan siapakah gerangan sebenarnya? Tetapi aku terpaksa memberanikan diri untuk seketika kerana aku sudah tidak dapat menahan lebih lama lagi. "Ya Allah, bantu la hambaMu ini dan jauhkanlah segala dugaan yang mendatang".

Rupa-rupanya bukan aku sahaja yang terdengar bunyi tapak kasut di tangga dan hempasan pintu tandas. Kawanku yang hanya menemankan aku pun sudah terasa hendak membuang air juga. Kami cuba berlagak memberanikan diri walaupun sudah pucat lesi gara-gara terdengar bunyi yang sudah mengusik jiwa. Takut punya pasal, pintu tandas tidak ku tutup, begitu juga dengan kawanku. Alhamdulillah, kami terselamat dari terlihat sesuatu yang mengerikan atau mati dicekik (macam-macam perasaan yang timbul di fikiran) walaupun takut gara-gara diusik oleh “sesuatu”. Peristiwa tersebut kami diamkan sahaja untuk sementara demi mendapat kembali semangat yang semakin pudar.

Keesokkannya aku ke sekolah seperti biasa walaupun mengantuk kerana peristiwa yang ku itu menyebabkan aku tidak dapat melelapkan mata sehingga ke pagi. Aku masih ingat lagi pada petang itu pekebun sekolah membersihkan kawasan sekolah. Di cantasnya dahan-dahan pokok yang merendang bagi mencerahkan kawasan sekolah agar nampak kemas. Sebelum ini aku pernah mendengar khabar angin yang mengatakan bahawa asrama sekolah itu adalah tempat keras tapi aku belum pernah merasai atau mengalami sendiri perkara ganjil sehinggalah terjadinya sesuatu peristiwa.....

Pada petang itu angin bertiup kencang membawa awan hitam.....Lalu senja itu turunnya titisan renyai-renyai tanda bermulanya hujan dan berlalutan hingga ke malam. Seperti biasa, aku dan kawan-kawan memulakan pembelajaran dan ulangkaji pelajaran di tingkat atas bangunan asrama sebelum membuka tingkap naka supaya dapat menikmati angin malam. Hatiku menjadi tidak tenang secara tiba-tiba. Bukan hanya aku seorang yang terasa tidak sedap hati. Dan dengan tiba-tiba, zzruppp..... seperti ada sesuatu yang melintas diluar tingkap semasa aku mengalihkan badan untuk ke tempat duduk. Dengan itu juga bulu romaku dan kawan-kawan menjadi tegak setegak-tegaknya serta suasana menjadi sunyi seketika.

“Aaaaaaaaaaaaaaa.....”

Kami terdengar jeritan di tingkat bawah asrama. Bukan seorang, bukan dua tetapi lima orang telah di rasuk atau dalam perkataan lain terkena histeria. Semua pelajar di arah turun ke dewan makan dan tidak dibenarkan menjejakkan kaki di asrama perempuan. Sesi pembelajaran tidak dapat diteruskan dan ditukar menjadi majlis bacaan Yasin.

Pelajar yang dirasuk terpaksa direbahkan dan dipegang kaki dan tangan agar tidak meronta-ronta dan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran. Suasana menjadi kalut seketika kerana pelajar yang "lemah" telah dirasuk apabila mendengar jeritan pelajar pertama yang menjerit serta mengilai.

Salah seorang pelajar yang terkena histeria meronta-ronta dengan tiba-tiba berkata, “Lepaskan aku, kau dah bunuh keluarga aku, kau bunuh keluarga akuuu.....”

Ketua pelajar dengan beraninya bertanya, “Siapa keluarga kau? Dari mana kau datang”

Dia menjawab, “pokok tu....pokok tu...keluarga aku mati”

Tanpa berlengah lagi, kami beramai-ramai membantu memulihkan keadaan. Air Yasin disuap ke mulut yang kejap ditutup, manakala cili kering dibakar dan diletakkan dekat dengan hidung sementara menunggu Ustaz yang arif dalam hal ilmu ghaib ini datang. Setelah semua pelajar yang dirasuk dipulihkan, mereka telah di hantar pulang ke rumah untuk sementara waktu.

Keesokannya, peristiwa yang terjadi di asrama perempuan telah heboh satu sekolah. Menurut teman karibku, sememangnya setiap tahun akan berulang peristiwa yang sama kerana menurutnya lagi, tapak didirikan asrama perempuan dahulunya merupakan hutan tebal dan "keras". Usaha menebang pokok-pokok di situ menggunakan enjin penebang juga tidak berjaya. Pihak yang mengusahakan projek pembinaan asrama terpaksa mencari alternatif lain bagi mencerahkan kawasan tersebut.

Aku bersyukur kerana aku tidak dirasuk. Peristiwa tersebut telah meninggalkan kesan yang mendalam padaku dan membuatkan aku menjadi lebih berani untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku di kemudian hari.
Ranking: 5
 
© TERATAK USANG All Rights Reserved